Perlanggaran dan ketidakpatuhan SOP Isu_berkaitan_pandemik_COVID-19_di_Malaysia

Pengingkaran oleh ahli politik

Kes Mohd Khairuddin

Ketika pandemik COVID-19, Teresa Kok (Seputeh-PH) pada 18 Ogos 2020 telah membangkitkan di dalam Parlimen bahawa Dr. Khairuddin telah ke Turki atas urusan peribadi dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Julai, dan pada 13 Julai, Dr. Khairuddin telah hadir ke Parlimen meskipun sepatutnya, berdasarkan undang-undang pencegahan COVID-19, Dr. Khairuddin perlu dikuarantin selama 14 hari. Dr. Khairuddin telah memohon maaf atas perlanggaran perintah tersebut, dan memulangkan gajinya sebanyak empat bulan terhadap Tabung Bantuan Bencana Negara sempena pandemik COVID-19.[19]

Oleh itu, pada 22 Ogos, pihak Kementerian Kesihatan telah mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Dr. Khairuddin atas perlanggaran perintah kuarantin tersebut.[20] Meskipun begitu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya memperuntukkan Ketua Pengarah dan penjawat-penjawat awam (dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan) untuk memberi kompaun sehingga nilai RM1,000, dan pihak polis sedang meneruskan siasatan tentang perlanggaran ini.[21][22][23] Kontroversi ini mendorong pihak kerajaan untuk mencadang untuk meminda semula akta tersebut.[22] Menjelang 21 Oktober, pihak berkuasa mengesahkan bahawa Khairuddin tidak dikenakan sebarang tindakan lanjut memandangkan Khairuddin tidak menerima sebarang arahan supaya berkuarantin selepas kepulangannya.[24]

Hal ini telah menimbulkan kemarahan rakyat serta ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan[25] disebabkan oleh hukuman yang dikatakan berat sebelah terhadap seorang menteri, dengan perbandingan antara hukuman ini dengan hukuman yang diterima oleh golongan rakyat yang menerima denda yang lebih berat banyak diutarakan.[21][26] Para penganalisis politik menyatakan bahawa pelepasan Mohd Khairuddin daripada sebarang tindakan dengan jelas menggambarkan ketidakadilan kedaulatan perundangan kepada golongan elit dengan rakyat, dan disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan status Mohd Khairuddin sebagai ahli politik PAS.[27]

Pengingkaran oleh orang kenamaan

Kes Neelofa-Haris Ismail

    Maklumat selanjutnya: Neelofa#Perlanggaran SOP COVID-19

Bermula daripada sesi perkahwinannya dengan Neelofa pada 27 Mac 2021, Haris serta Neelofa terpalit dalam siri perlanggaran tatacara operasi piawai berdasarkan hukum pandemik COVID-19 yang melanda negara serta dunia pada masa itu pada bulan-bulan awal perkahwinan. Perlanggaran-perlanggaran yang dilakukan termasuk tidak menjaga penjarakan sosial ketika sesi perkahwinan mereka serta salah guna permit rentas negeri bagi tujuan peribadi. Siri perlanggaran yang dilakukan serta hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka mendapat perhatian serta kutukan pelbagai pihak. Kontroversi ini menjadi contoh utama persepsi ketidakadilan terhadap golongan atasan yang dipetik oleh orang ramai.[28]

Ketidakpatuhan rakyat

Daripada perspektif rakyat, masalah rakyat yang mengingkari langkah-langkah pembendungan penularan COVID-19 juga menjadi isu di pihak kerajaan dan pihak berkuasa.[29] Masalah ini banyak menjurus kepada pembentukan kluster-kluster jangkitan COVID-19 setempat, dengan kluster yang mendapat perhatian termasuk Kluster Sivagangga yang berpunca daripada keingkaran seorang pengusaha restoran di Kubang Pasu, Kedah.

Rujukan

WikiPedia: Isu_berkaitan_pandemik_COVID-19_di_Malaysia http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://enotifikasi.moh.gov.my/DMS/Documentation/CD... https://www.abc.net.au/news/2021-01-14/malaysia-co... https://coconuts.co/kl/news/fck-politics-banner-in... https://coconuts.co/kl/news/politicianspuncavirus-... https://www.asiasentinel.com/p/malaysia-fades-in-c... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kitamin... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemuda-...